Selasa, 31 Januari 2017

BIOGRAFI DATUK HAJI CHE MAT BIN CHE ALI

















BAB I

PENDAHULUAN

1.1       PENGENALAN 


Golongan ilmuwan dan agamawan merupakan dua kumpulan yang sentiasa mendapat penghormatan di sisi masyarakat. Masyarakat akan lebih percaya kepada individu yang memiliki kepakaran dalam bidang ilmu ukhrawi dan duniawi. Kemunculan cendekiawan muslim merupakan salah satu bukti kesempurnaan Islam dalam membentuk modal insan yang mampu menguasai dua bentuk disiplin ilmu ini. Mereka bukan sakadar seorang ulama yang hanya menelaah kitab-kitab thurath, malah golongan ini turut mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang ilmu yang lain.

            Perkara ini telah disebutkan oleh sebahagian pentafsir dalam memberikan makna yang lebih komprehensif bagi perkataan ulama. Definisi tepat bagi perkataan ulama ialah seorang yang luas dan mendalam ilmu agamanya dan berupaya menggarap, seterusnya mengembangkan ilmu bersesuaian dengan kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin ilmu yang lain sama ada dalam keagamaan mahupun keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu itu akan menjadi sumber rujukan utama umat zaman berzaman. Inilah ciri utama ulama yang berwibawa dalam Islam seperti firman Allah SWT  dalam Surah ali-Imran (3:7)

﴿هُوَ الَّذِيَ أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ في قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاء الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاء تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ اللّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الألْبَابِ
Maksudnya :

Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: "Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhankami" dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

            Oleh yang demikan, Islam sangat menggalakkan supaya manusia berusaha menguasai kedua-dua cabang ilmu ini. Kemunculan golongan ulama yang produktif semakin ditagih oleh masyarakat hari demi hari. Semakin kreatif dan profesional seseorang ulama, semakin meningkatlah tamadun dan peradaban manusia. Maka wajar sekiranya ulama menjadi tempat rujukan apabila umat Islam menghadapi  kekeliruan mengenai persoalan kehidupan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’ (21:7)

﴿وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya :

Maka bertanyalah kamu kepada ahli zikri (orang yang mengetahui) jika kamu tidak mengetahui.


Justeru, dengan kemuliaan dan kelebihan yang dianugerahi oleh Allah SWT, ulama mempunyai peranan dan  tanggungjawab getir dalam membimbing, membangun serta memimpin hala tuju masyarakat dan negara ke arah keredhaan Allah SWT. Golongan ini wajar menggerakkan usaha kerajaan supaya menggembleng tenaga dan menyusun langkah ke arah mewujudkan keharmonian rakyat yang bernaung di bawah kerajaan negeri masing-masing. Hal ini bermakna, umat Islam perlu memahami suatu hakikat bahawa mufti bukan sekadar dengan fatwanya, kadi tidak hanya terhad di Mahkamah Syariah, imam tidak hanya terbatas di masjid dan ustaz pula bukan hanya di sekolah, kolej atau di universiti.

1.2       PERNYATAAN MASALAH

Kepakaran seseorang pemimpin dalam menguasai sesuatu bidang sangat diperlukan bagi memastikan kepimpinan tersebut dapat dilaksanakan dengan  efektif. Situasi ini kebiasaannya dirasai oleh segelintir masyarakat yang mempunyai komitmen dan semangat juang yang tinggi dalam usaha memartabatkan kepimpinan Islam di puncak dunia dalam bidang pentadbiran. Kelahiran beberapa orang tokoh pemimpin Islam ini bermula sejak zaman Rasullullah S.A.W. lagi yang merupakan pemimpin bagi dunia Islam dan diikuti oleh para sahabat-sahabat Baginda. Manfaat yang diperolehi daripada para pemimpin yang agung ini dapat dibuktikan melalui produktiviti yang dihasilkan sama ada dalam aspek pembinaan modal insan, mahupun sumbangan terhadap pembangunan politik, ekonomi dan sosial sesebuah negara. Malangnya, kewujudan golongan ini kurang disedari oleh masyarakat awam.  Lantaran itu, wujudnya pelbagai bentuk penulisan bagi mencungkil dan memaparkan kembali tokoh-tokoh pemimpin yang telah berjasa ini. Usaha kecil ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk mengikuti jejak langkah tokoh-tokoh yang telah mendahului kita dalam sejarah dunia kepimpinan.

1.2.1    Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali               


Beliau merupakan anak jati kelahiran Telok Menara Manir, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Kehidupan bermula dengan penuh kesederhanaan menjadi titik tolak liku-liku sebuah perjalanan kehidupannya. Anak sulung daripada sepuluh orang adik-beradik ini memang dilahirkan untuk menjadi seorang pemimpin yang akan memegang teguh prinsip-prinsip dan rukun-rukun kepimpinan maka beliau telah dilantik dan memulakan kerjaya dalam bidang pentadbiran menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan Islam di Jabatan Perdana Menteri pada tanggal 2 Mei 1978. Mutiara yang bergemerlapan telah membawa cahaya kepada kepimpinan Che Mat apabila beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan yang mewakili negara Malaysia di luar negara iaitu Atase Ugama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia.
           
            Kepercayaan yang diberikan kepada Che Mat telah membuka sinar harapan kepada pentadbiran sesebuah kepimpinan yang lebih efisien kepada beliau untuk meningkatkan lagi kecemerlangan diri dari semasa ke semasa. Kecemerlangan ini telah dibuktikan melalui pelantikan beliau dan telah menyumbang pelbagai tenaga serta buah fikiran dalam pelbagai bidang kepimpinan antaranya diberi kepercayaan memegang jawatan Setiausaha Kelab United Malay National Organisation (UMNO) Indonesia.
           
            Latar belakang kehidupan Che Mat yang banyak menghabiskan masa dalam dunia pentadbiran hal ehwal Islam dapat disimpulkan bahawa tokoh ini telah menabur jasa yang besar kepada pembangunan agama bangsa dan negara. Natijahnya, beliau telah dikurniakan beberapa anugerah dan penghargaan daripada pelbagai pihak serta institusi Diraja Terengganu, Negeri Sembilan dan juga Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sehingga membawa kepada gelaran Datuk. Banyak kajian ketokohan yang dilakukan sebelum ini hanya melibatkan nama-nama tokoh pemimpin yang terkenal dari segi sumbangan dan peranan kepada masyarakat dalam perlbagai aspek. Oleh yang demikian, pengkaji ingin mengikuti jejak yang sama dengan mengkaji seorang tokoh pemimpin yang juga terkenal dengan sumbangannya terhadap masyarakat tetapi kurang mendapat perhatian para pengkaji lain. Kajian ini akan melakukan pendedahan secara lebih mendalam mengenai latar belakang serta sumbangan tokoh kepimpinan ini kepada masyarakat sehingga ke hari ini.

1.3       PERSOALAN KAJIAN


Persoalan kajian yang dapat dikemukakan oleh pengkaji dalam penyelidikan ini ialah: 

1.3.1    Apakah maklumat latar belakang dan riwayat hidup Datuk Haji Che Mat bin Che Ali?

1.3.2    Apakah sumbangan beliau kepada masyarakat dari sudut pelbagai seperti aspek pentadbiran, kebajikan sosial dan kebajikan institusi masjid?

1.4       OBJEKTIF KAJIAN


Kajian ini menumpukan kepada beberapa objektif yang ingin ditonjolkan oleh pengkaji. Antara objektif kajian ialah:

1.4.1    Mengkaji maklumat latar belakang dan riwayat hidup Datuk Haji Che Mat bin Che Ali.

1.4.2    Menganalisis sumbangan beliau kepada masyarakat dari sudut pelbagai aspek seperti pentadbiran, kebajikan sosial dan kebajikan institusi masjid.

1.5       METODE KAJIAN


Metodologi dalam kajian merupakan komponen yang penting dalam menjadikan sesuatu penyelidikan ilmu itu lebih berkualiti tinggi. Menurut Sulaiman Masri (2005 : 59) di dalam buku beliau bertajuk “Kaedah Penyelidikan dan Panduan Penulisan: Esei, Proposal, Tesis” menyatakan penyelidik boleh memilih kaedah-kaedah yang bersesuaian dengan permasalahan masalah dan strategi penyelidikan, di samping jenis dan kewujudan sumber maklumat.

1.5.1    Reka Bentuk Kajian


Penulis menggunakan reka bentuk biografi dalam penyelidikan ini. Ini kerana reka bentuk biografi merupakan kajian keatas individu dan pengalamannya, ia bersesuaian dengan objektif yang hendak dicapai iaitu memfokuskan kearah meneroka kehidupan Datuk Haji Che Mat bin Che Ali dari segi latar belakang, keperibadian dan sumbangan.

1.5.2    Prosedur Menjalankan Kajian


Menurut Fatini Yaakub (2000) dalam kertas kerja beliau bertajuk "Teori dan Perinsip Penyelidikan Tokoh" menyatakan terdapat tiga tahap dalam melaksanakan sesuatu penyelidikan yang berkaitan dengan tokoh.

a.                   Tahap pertama ialah sebelum turun lapangan

Pengkaji akanmendapatkan maklumat asas dan data-data mengenai latar belakang, pengalaman, peristiwa dan pemikiran Datuk Haji Che Mat bin Che Ali untuk dijadikan titik tolak kepada penyelidikan yang lebih terperinci terhadap beliau. Di samping itu, pengkaji akan menghimpun sebanyak mungkin bahan-bahan bertulis daripada buku atau akhbar yang berkaitan dengan beliau  untuk dibaca dan dicatat isi-isi penting.

b.                  Tahap kedua ialah turun lapangan
Dalam melaksanakan tahap yang kedua ini, pengkaji telah menyediakan rangka soalan berdasarkan maklumat dan data yang diperolehi pada tahap yang pertama. Oleh kerana tokoh ini masih hidup, maka pengkaji telah menjalankan sesi temu bual terhadap diri tokoh sendiri, rakan sejawat, anak murid dan individu yang pernah berhubungan dengan beliau. Ia menyentuh mengenai keperibadian dan sumbangan beliau.

c.                   Tahap ketiga ialah selepas lapangan

Hasil maklumat dan data yang diperolehi melalui melalui temubual dan dokumen-dokumen yang berkaitan dan artikel-artikel akan dianalisis secara menyeluruh. Hasil tersebut akan digunakan untuk menjawab persoalan kajian yang disenaraikan.

1.5.3    Proses Pengumpulan Data  


Dalam kaedah kualitatif terdapat pelbagai kaedah pengumpulan data yang boleh digunakan. Namun dalam penyelidikan ini dicadangkan dua kaedah yang dilakukan iaitu temu bual dan analisis dokumen.

a.                   Prosedur Temu bual

Dalam mendapatkan hal-hal yang berkaitan dengan latar belakang, keperibadian dansumbangan tokoh ini, maka maklumat dengan lebih tepat dan terperinci lagi dapatlah diperolehi melalui kaedah temubual dengan beliau sendiri dan orang perseorangan khususnya yang mengenali beliau, sama ada anak beliau, pegawai-pegawai yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran beliaurakan yang bertugas bersama-sama dengan beliau. Mereka yang ditemu bual ialah :

a)      Datuk Haji Che Mat bin Che Ali, tokoh yang sedang dikaji. 
b)      Datin Hajah Rakiah Mariana binti Latiff, isteri Datuk Haji Che Mat bin Che Ali.

c)      Tuan Haji Che Husain bin Isa, Timbalan Pengarah Operasi JAWI.

d)     Puan Kartini binti Mohd Zain, Pembantu Kerani Kanan JAWI.

e)      Nur Hidayah binti Arbain, Setiausaha Peribadi Pengarah di JAWI.

f)       Shukri bin Mohamad, Pegawai Bahagian Pengurusan Kariah JAWI

g)      Alias bin Ali, adik Datuk Haji Che Mat bin Che Ali.

Oleh itu, temu bual yang dijalankan adalah berbentuk tidak berstruktur (walau bagaimanapun, panduan dan asas masih mengikut tertib dalam mencapai objektif kajian dan draf soalan juga disediakan sebagai garis panduan). Temu bual dijalankan secara individu. Data-data temu bual pula akan ditranskripkan ke dalam bentuk teks dan interpretasi data dapat dijalankan. Data awal yang diperolehi melalui temu bual dengan informen pertama akan digunakan sebagai garis panduan untuk menjalankan temubual berikutnya agar data-data ini benar-benar releven dan tepat dengan topik kajian.

b.                  Analisis Dokumen

Dalam kajian ini, beberapa dokumen telah dikenalpasti untuk dianalisis bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan persoalan kajian. Di antara dokumen yang sesuai ialah :

a)      Pengarah-Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan: terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Pesekutuan.
b)      Buku Laporan Tahunan 2010/2011/2012/2013. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

c)      Keratan Akhbar

1.5.4        Prosedur Analisis Data

Dalam analisis data ini, pengkaji menggunakan pendekatan bercerita dalam menyampaikan maklumat-maklumat yang diperolehi. Ini kerana pendekatan bercerita adalah satu cara yang sangat ideal dalam menyampaikan pengalaman tokoh yang dikaji. Apatah lagi maklumat yang disampaikan melalui penceritaan adalah lebih tulen.

Oleh itu, dalam proses analisis data ini pengkaji telah membahagikan kepada tiga peringkat iaitu:

a.                   Peringkat pertama, pengkaji mengumpul semua maklumat dan data sama ada melalui temu bual dan dokumen. Hasil temu bual pengkaji trankripkan. Secara tidak langsung pengkaji dapat membiasakan diri dengan data-data yang diperolehi.

b.                  Peringkat kedua, pengkaji membuat interpretasi data dan pengkelasan secara manual mengikut objektif yang hendak dicapai, iaitu latar belakang, ciri-ciri keperibadian, dan sumbangan.

c.                   Peringkat ketiga pula, pengkaji melakukan deskripsi data iaitu semua data yang telah dikelaskan ini diolah dan dikarang dalam bentuk penceritaan. Semakan demi semakan terhadap pernyataan informen juga turut dilakukan sepanjang proses ini, agar maklumat yang disampaikan jelas dan tepat.

1.6       TINJAUAN LITERATUR


Kemunculan golongan pemimpin dianggap sebagai penyelamat kepada seluruh umat. Di saat manusia dihimpit dengan pelbagai masalah, maka golongan ini akan menjadi tempat rujukan masyarakat. Di samping itu, golongan pemimpin juga berperanan untuk memandu masyarakat menuju ke arah kehidupan yang lebih baik. Islam mengangkat martabat para pemimpin yang berusaha keras menegakkan agama Allah untuk kebaikan umat Islam.

            Kebelakangan ini, kajian berkenaan biografi tokoh telah berjaya mengambil tempat di hati para penulis tempatan. Kebanyakan buku yang diterbitkan oleh penulis berkisar tentang latar belakang, sumbangan dan pemikiran tokoh yang dikaji. Walau bagaimanapun, masih terdapat tokoh yang telah menaburkan jasa dan bakti dalam pelbagai bidang tetapi tidak diketengahkan mengenai kehidupan dan sumbangan mereka. Ekoran itu, pengkaji mendapati usaha untuk melakukan kajian ke atas tokoh ini adalah wajar bagi mengetengahkan tokoh ini dari aspek kehidupan dan sumbangan beliau dalam pelbagai bidang.

            Setakat ini masih belum ada penulisan khusus yang mengkaji tentang sejarah kehidupan dan sumbangan tokoh pemimpin yang dikaji ini iaitu Datuk Haji Che Mat bin Che Ali sama ada dalam bentuk ensiklopedia atau himpunan bibliografi yang menyeluruh. Hal ini telah menunjukkan bahawa tokoh pemimpin ini perlu dikaji untuk dijadikan rujukan kepada semua lapisan masyarakat serta menghargai sumbangan-sumbangan beliau yang tiada galang gantinya.

            Selain itu, buku 20 Tokoh Ilmuan yang ditulis oleh Siti Ezaleila Mustafa turut menjadi rujukan pengkaji dalam melakukan kajian terhadap tokoh ini. Secara keseluruhannya, buku ini membincangkan secara ringkas tentang kehidupan dan sumbangan tokoh-tokoh ilmuan yang terdapat di Malaysia. Antara tokoh yang diketengahkan di dalam buku ini adalah seperti Profesor Datuk Dr. Muhammad Kamal Hassan, Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim dan Zainal Abidin Ahmad (ZA’BA). Maka, bertepatanlah dengan usaha yang ingin dilakukan oleh pengkaji untuk menghimpunkan maklumat yang merangkumi latar belakang dan sumbangan Datuk Haji Che Mat bin Che Ali dalam bentuk yang lebih sistematik dan tersusun. Pengkaji berpandangan bahawa penulis perlu memfokuskan kajian kotokohan ini kepada satu skop yang lebih khusus. Hal ini kerana, penulis telah menghimpunkan seluruh tokoh ilmuan dalam pelbagai bidang ilmu dan dikompilasikan dalam satu kajian.

            Terdapat juga buku berkenaan kajian ketokohan yang hanya memfokuskan tentang biografi dan sumbangan seseorang tokoh. Buku yang berjudul Mohd Ghazali Abdul Rahman 1938-2007,  Dari Mercu Ke Mercu karya Roosfa Hashim merupakan buku yang menceritakan secara terperinci tentang latar belakang dan sumbangan tokoh yang dikaji. Disebabkan tokoh ini mempunyai latar belakang kerjaya yang hampir sama dengan tokoh yang dikaji, maka pengkaji telah menggunakan metodologi yang digunakan oleh penulis buku ini sebagai panduan untuk melakukan kajian. Metodologi kajian yang digunakan oleh penulis buku ini lebih kepada analisis dokumen disertai dengan kaedah temu bual bagi memastikan kesahihan maklumat yang diperolehi.

            Di samping itu juga, pengkaji turut merujuk kepada beberapa buah buku yang berkaitan dengan penulisan ketokohan seperti Tokoh Ulama, Dato’ Haji Abu Hassan Bin Haji Sail yang ditulis oleh Mohd Hishamuddin bin Mansor dan buku Said Ibrahim : Mufti Tegas Dan Terbilang karya Roosfa Hashim. Kedua-dua buku ini menceritakan tentang kehidupan golongan ulama yang turut terlibat dalam profesion pendidikan. Disebabkan tokoh yang dinyatakan dalam kedua-dua buku ini mempunyai sedikit persamaan dengan tokoh yang dikaji, maka pengkaji telah membuat analisis bagi menghasilkan soalan temu bual.
            Selain itu, pengkaji juga telah merujuk kepada sebuah buku yang berjudul Motik : Majukan Olehmu Tanahair Indonesia Kita yang ditulis oleh Imam Halilintars. Buku ini mengisahkan tentang biografi seorang tokoh ekonomi Indonesia bernama B.R. Motik yang menjadi pencetus, perintis dan ketua pertama gagasan pendirian Perserikatan Warung Bangsa Indonesia (PERWABI). Walaupun aspek ketokohan yang ditonjolkan oleh penulis tidak jauh bezanya dengan subjek yang dikaji, namun terdapat beberapa persamaan lain dari sudut metodologi kajian yang digunakan oleh pengkaji. Penulis berjaya membuktikan bahawa maklumat yang diperolehi melalui kaedah temu bual secara langsung dengan tokoh yang dikaji lebih tepat dan tidak boleh dipertikaikan kasahihannya oleh mana-mana pihak.  Berdasarkan hasil yang ditunjukkan oleh penulis, maka pengkaji berasa lebih yakin untuk meneruskan kajian melalui kaedah ini.

            Justeru itu, penulisan biografi Datuk Haji Che Mat bin Che Ali ini diharapkan mendapatkan sokongan yang sepenuhnya daripada semua pihak untuk menaikkan martabat Islam itu sendiri di samping menyampaikan maklumat tentang sejarah tokoh ini. Di dalam penulisan ini, biografi yang ditulis adalah berkenaan sejarah latar belakang diri, pendidikan, sumbangan dan khidmat masyarakat tokoh pemimpin ini. Semoga langkah ini mampu menjadi menjadi aspirasi kepada para pengkaji lain untuk meneruskan komitmen yang serupa. Selain itu, diharapkan penulisan ini dapat memartabatkan tokoh pemimpin di mata hati masyarakat untuk menghargai jasa dan pengorbanan perjuangan mereka.


1.7       KESIMPULAN


Ketokohan merupakan aspek terpenting dalam menilai kewibawaan seseorang tokoh. Selain daripada perwatakan, ketokohan juga dinilai berdasarkan jasa dan sumbangan tokoh kepada agama, bangsa dan negara. Datuk Haji Che Mat bin Che Ali merupakan antara tokoh akademik yang banyak memberikan sumbangan kepada pentadbiran agama di Wilayah Persekutuan. Dengan ketinggian ilmu dan peribadi yang mulia, adalah tidak disangkal lagi bahawa beliau merupakan seorang tokoh pemimpin yang disegani. Pengkaji juga berharap agar penyelidikan ini mampu memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya dalam membangunkan modal insan yang cemerlang dunia sejahtera akhirat. Oleh itu, pada bab yang seterusnya, pengkaji akan menceritakan mengenai latar belakang Datuk Haji Che Mat bin Che Ali sebagai salah seorang tokoh pemimpin di Wilayah Persekutuan.

























BAB II

BIODATA DATUK HAJI CHE MAT BIN CHE ALI


2.1       PENGENALAN

Di antara ciri asas kemunculan sebuah tamadun Islam menurut Ibnu Khaldun adalah kewujudan bahasa dan sistem tulisan dalam sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, perkembangan tamadun melalui sistem pentadbiran merupakan antara faktor terpenting yang menyumbang ke arah pembangunan sesebuah tamadun, khususnya tamadun Islam.

            Proses perkembangan bidang kepimpinan ini telah digerakkan sepenuhnya oleh golongan pemimpin. Golongan ini telah menjadi tulang belakang dalam mentadbir dan membawa masyarakat ke arah masyarakat yang berwibawa serta mempunyai daya nilai yang tertinggi dalam menjalani sesebuah pentadbiran. Keilmuan dan kepakaran yang ada pada golongan ini sama ada dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pembangunan sesebuah institusi masyarakat khususnya dalam bidang kepimpinan.

            Datuk Haji Che Mat bin Che Ali merupakan salah seorang pemimpin muslim yang mempunyai sumbangan yang besar dalam dunia kepimpinan pada hari ini, khususnya di Wilayah Persekutuan. Ketokohan dan keperibadian yang dimiliki oleh beliau telah berjaya menarik pandangan ramai golongan pemerintah. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau menerima banyak anugerah di samping pingat kebesaran       di atas jasa dan sumbangan beliau dalam memacu pembangunan Islam di Wilayah Persekutuan.

            Dengan berlatar belakangkan pendidikan agama, Datuk Haji Che Mat bin Che Ali yang lebih gemar dikenali dengan panggilan ‘Datuk Che Mat’. Darah keturunan Melayu Pantai Timur yang mengalir dalam tubuh Che Mat merupakan antara keistimewaan yang dapat membezakan antara diri beliau dengan tokoh-tokoh pemimpin tanah air yang lain. Perjalanan beliau dalam usaha menuntut ilmu bermula di peringkat rendah sehinggalah ke menara gading merupakan antara perkongsian menarik di dalam penulisan ini. Selain itu, detik-detik manis Che Mat sepanjang mendirikan rumah tangga dan pengalaman beliau sewaktu menempuh alam pekerjaan akan turut dibincangkan untuk kita menenali tokoh ini dengan lebih mendalam lagi. Kesemua perkara mengenai biodata atau latarbelakang Che Mat akan dijelaskan lebih lanjut dalam bab ini.

2.2       LAHIRNYA SEORANG TOKOH

Tanggal 07 Oktober 1951, kehangatan suasana hening di sebuah kampung terpencil yang terletak lebih kurang sepuluh kilometer daripada Bandar Kuala Terengganu telah  terdengar tangisan suara daripada seorang putera lelaki.  Kelahirannya di rumah melalui kaedah tradisional ini telah berlaku di Kampung Telok Menara Manir, Kuala Terengganu (Che Mat Che Ali 2014).

            Kelahiran sulung seorang putera bagi bagi pasangan Che Ali bin Chik dan Khatijah binti Hajah Embong ini merupakan anugerah Allah SWT yang tidak ternilai. Siapa sangka anak kecil yang dibesarkan di Kampung Telok Menara Manir ini akhirnya menjadi seorang tokoh pemimpin yang masyhur dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kelahiran Che Mat di bumi Terengganu merupakan bukti bahawa keluarga ini melahirkan sebiji mutiara yang akan memberi sinar cahaya kepada dunia kepimpinan negara terutama di bumi Wilayah Persekutuan.

2.3       LATAR BELAKANG KELUARGA

Membesar bersama adik-beradik yang lain iaitu Abdul Rahman seterusnya Hasnah diikuti pula Salleh dan seterusnya Zakaria diikuti lagi Alias, Kamaruddin, Hashim, Nur Hafifah dan yang terakhir Mohd Zaki bukanlah suatu perkara yang mudah bagi diri Che Mat. Kesungguhan Che Ali menjalankan aktiviti nelayan pada permulaan kehidupan membesarkan anak-anak semasa menetap di Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu dengan penuh kegigihannya bersama isteri yang tercinta Khatijah. Aktiviti nelayan yang di jalankan oleh Che Ali dan isteri tidak lama kerana kedudukan geografi memaksa keluarga berpindah ke tempat baru setelah penempatan tersebut telah dimamah oleh laut yang mengalami musim tengkujuh yang kuat. Semangat pasangan ayahanda dan bonda Che Mat untuk menyara serta membesarkan anak-anak pula telah membawa diri berpindah ke tempat baru iaitu di Kampung Telok Menara Manir bagi menjalankan aktiviti pertanian menanam padi di sawah (Che Mat bin Che Ali 2014).

            Setelah berpindah ke Kampung Telok Menara Manir, Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1956 kesungguhan ketua keluarga iaitu Che Ali dan pasangan hidup Khatijah dalam membesarkan anak-anak menguatkan jati diri mereka untuk menceburi bidang pertanian pula. Aktiviti pertanian dimulakan dengan menanam padi pada waktu pagi dan pada masa lapang pada waktu petang berbudi pula kepada tanah yang terbiar di belakang rumah dengan menanam pelbagai sayur-sayuran seperti kacang panjang, kacang bendi, cili dan terung.  Ibarat berbudi kepada tanah dapatlah merasa hasilnya (Che Mat bin Che Ali 2014).

Bidang pertanian ini tidaklah dibuat keseorangan oleh Che Ali kerana anak sulung mereka iaitu Che Mat giat membantu ayahandanya menjual hasil tanam sayuran di pasar pada waktu petang setelah pulang ke sekolah. Che Mat adalah seorang anak yang bertanggungjawab dan menunjukkan kewibawaan kepimpinan dari kecil lagi sanggup membantu keluarga bagi merasai kesusahan serta kesenangan kehidupan yang dialami (Che Mat bin Che Ali 2014).


2.4       BERMULANYA ALAM PERSEKOLAHAN



Zaman kanak-kanak Che Mat mulai berkembang apabila beliau telah melangkah masuk ke alam persekolahan. Menjadi kelaziman bagi setiap kanak-kanak yang mula menjangkau umur antara enam hingga tujuh tahun, mereka akan mula diperkenalkan dengan dunia pendidikan formal yang hanya diperoleh di sekolah.

            Seperti kanak-kanak lain, Che Mat mula memasuki gerbang persekolahan seawal usianya enam tahun. Beliau telah memulakan zaman persekolahannya di peringkat rendah pada tahun 1958 di Sekolah Kebangsaan Manir Kuala Terengganu dari tahun satu sehingga tahun tiga seterusnya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, Terengganu dari tahun empat hingga tahun enam pada tahun 1961 hingga 1963 (Che Mat bin Che Ali 2014). Sepanjang berada di peringkat sekolah rendah beliau sangat dikagumi oleh guru-guru, rakan-rakan dan kedua ibu-bapa kerana sering mendapat nombor satu di dalam kelas dan tekun dalam menuntut ilmu. Beliau telah berkenalan dengan seorang guru yang tidak boleh dilupakan sehingga ke hari ini iaitu guru yang menjadi pelopor kepada gerakan pendidikan di sekolah itu. Guru tersebut bernama cikgu Abu Bakar. (Che Mat bin Che Ali 2014) Ingatan kepada guru tersebut sangat mendalam  di benak fikiran Che Mat kerana satu kejadian berlaku di kelas setelah membuat kesilapan pengiraan ilmu Hisab yang kini dikenali sebagai Matematik maka cikgu Abu Bakar telah membaling ‘papan batu’ (Che Mat bin Che Ali 2014) yang dimilikinya untuk membuat pelbagai latihan pembelajaran  pecah berkecai dilantai kelas tersebut. Peristiwa tersebut telah mendorong semangat jati diri yang kuat terhadap Che Mat untuk terus komited dan berkeyakinan dalam menuntut ilmu. Pelbagai peristiwa yang telah dikongsikan oleh Che Mat kepada pengkaji antaranya kesusahan ketika ke sekolah hanya dengan berjalan kaki sejauh satu kilometer pada tiap-tiap pagi tanpa memakai stokin dan kasut di kaki. Inilah semangat yang ditunjukkan oleh anak putera sulung seorang petani yang cekal dan gigih dalam menuntut ilmu pada setiap hari. Berkat kesungguhan dengan berbekalkan nasihat dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh guru-guru Sekolah Kebangsaan Manir dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, Che Mat telah berjaya memperoleh keputusan yang baik sepanjang enam tahun menuntut di sekolah tersebut (Che Mat bin Che Ali 2014).

Oleh kerana prestasi akademiknya yang cemerlang selama enam tahun berturut-turut, Che Mat telah menyambung lagi pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Jiring Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1964 (Che Mat bin Che Ali 2014). Kesungguhan Che Mat dalam mencari secangkir ilmu di sekolah sanggup mengayuh basikal yang telah dibeli oleh ayahandanya sejauh dua belas kilometer setiap hari ke sekolah. Inilah yang ditunjukkan oleh seorang anak yang contoh ikutan kepada sembilan orang lagi adik-adiknya yang mempunyai semangat yang waja dalam menempuh pelbagai badai yang melanda dalam usaha menuntut ilmu sehingga ke puncak yang tertinggi. Menjengah jam enam setengah setiap pagi kayuhan Che Mat bersama basikalnya ke sekolah sangat merintih keringatnya demi sesuap ilmu. Berkat kesabaran beliau dalam pembelajaran semasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu, Terengganu, beliau telah menggapai kejayaan di sekolah tersebut dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1966 (Che Mat bin Che Ali 2014). Kejayaan yang diperolehi oleh Che Mat  semasa menduduki PMR maka, beliau terpilih untuk ke Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin pada tahun 1967 (Che Mat bin Che Ali 2014) bagi meneruskan pengajian di tingkatan empat dan tingkatan lima. Prestasi pembelajaran beliau semakin terserlah di sekolah baru yang sentiasa mencapai tahap kecemerlangan yang membanggakan semua. Setelah menduduki peperiksaan di tingkatan lima, Che Mat telah mencapai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terbaik pada tahun 1968  dan telah terpilih untuk meneruskan pengajian di Kolej Islam Kelang (KIK). Keputusan untuk meneruskan pengajian tersebut di KIK telah dikhabarkan kepada kedua orang tuanya dan mereka sangat berbangga di atas pencapaian yang diperolehi. Riak wajah gembira ayahanda dan bonda Che Mat sungguhpun anak sulungnya telah berjaya menyambung pengajian, terselit kerunsingan dek kerana kesempitan kewangan untuk menanggung perbelanjaan anaknya. Namun, dengan semangat beserta iltizam yang cekal untuk melihat anak watan kampung berjaya di peringkat pendidikan yang tertinggi, Ali dan isterinya mengambil keputusan untuk menjual serelong tanah sawah padi dan seekor lembu untuk tujuan perbelanjaan pengajian Che Mat. Ayahanda Che Mat yang sangat mementingkan ilmu pengajian kepada anak-anak sanggup berkorban harta demi melihat anak-anaknya berjaya di dalam bidang pengajian (Che Mat bin Che Ali 2014).

            Kehidupan Che Mat di KIK bermula setelah kedua ayahanda dan bondanya bersetuju menghantar Che Mat menyambung pengajiannya. Che Mat antara beberapa orang pelajar yang terpilih daripada Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin untuk menyambung pengajian di KIK berbekalkan sedikit wang saku yang telah diberikan kepada Che Mat, beliau telah merantau ke bumi Selangor bagi meneruskan pengajiannya. Keseorangan bermusafir jauh ke bumi yang belum pernah dijejaki, beliau hanya bertawakal kepada Allah SWT dengan niat yang murni membawa hasrat orang kampung serta kedua orang tuanya untuk menuntut ilmu dengan penuh ketekunan. Inilah contoh yang ditunjukkan oleh Che Mat bahawa anak jati kampung dari Terengganu boleh berjaya jika dan kemahuan di hati. Bak kata pepatah “Di mana Ada Kemahuan Di situ Ada Jalan”. Peristiwa kebanggaan anak kampung menyambung pengajian telah menjadi kebanggaan seluruh penduduk kampung yang mana dikongsi dengan sama-sama menghantar Che Mat ke stesen bas sebelum bertolak ke KIK. Peristiwa ini masih mekar di fikiran beliau yang sentiasa diingati (Che Mat bin Che Ali 2014).
            Pada ketika ini, ekonomi Che Mat sangat terbatas dengan berbekalkan wang perbelanjaan yang hanya mencukupi untuk menanggung beliau semasa menuntut di KIK sahaja.  Beliau sentiasa berjimat cermat dan mengikat perut memikirkan keluarga di kampung yang sentiasa bersusah payah menyara beliau dan masih mempunyai sembilan orang lagi adik-adik yang perlu disara oleh kedua orang tuanya di kampung.  Setelah menduduki pengajian di kolej tersebut, Che Mat telah menerima biasiswa sebanyak Ringgit Malaysia empat puluh sahaja setiap bulan daripada Kerajaan Malaysia dan telah membantu beliau sedikit sebanyak dalam meneruskan aktiviti harian beliau (Che Mat bin Che Ali 2014).

            Semangat Che Mat dalam menuntut ilmu semakin membara apabila mendapat keputusan pengajian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STA) pada tahun 1972 (Che Mat bin Che Ali 2014). Inilah sikap seorang anak kampung yang ditunjukkan oleh Che Mat yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang.
           
2.5       KEHIDUPAN DI MENARA GADING

Setelah mendapat keputusan cemerlang di Kolej Islam Kelang (KIK), Che Mat telah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1974 (Che Mat bin Che Ali 2014). Che Mat berasa sungguh bertuah kerana tergolong dalam generasi ke-4 yang berpeluang menimba ilmu di UKM. Orang yang pertama beliau memberitahu berita gembira ini adalah kedua orang tuanya iaitu Ali dan Khadijah. Mereka menyambut baik keputusan Che Mat untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti setelah mendapat tawaran tersebut. Namun kesempitan hidup yang dialami oleh Ali dan Khadijah memaksa kedua orang tua Che Mat berfikir panjang untuk menanggung anak sulung mereka menyambung pengajian. Situasi ini berakhir apabila Ali menjual dua ekor lembu, sepuluh ekor ayam, dua ekor kambing dan beberapa tapak sawah padi yang diusahakan oleh Ali selama ini. Maka hasil daripada jualan tersebut telah membolehkan Che Mat untuk menyambung pengajianya di peringkat universiti. Segala perbelanjaan telah ditanggung oleh ayahandanya kerana semangat Ali untuk melihat anaknya berjaya dan mementingkan ilmu menjadi kenyataan (Che Mat bin Che Ali 2014).   

            Semasa di UKM, Che Mat telah mendaftar di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam  (FPI) pada tahun 1974. Pengajian selama 4 tahun di universiti memberi pelbagai pengalaman suka duka dalam menuntu ilmu. Che Mat telah memberi sepenuhnya perhatian terhadap pengajian di universiti agar sentiasa memperolehi pencapaian yang terbaik. Setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam dengan Kepujian (Syariah) di FPI pada tahun 1977 (Che Mat bin Che Ali 2014), Che Mat sekali lagi meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan dan memperolehi Diploma Pendidikan di UKM pada tahun 1978 (Che Mat bin Che Ali 2014). Inilah yang ditunjukkan oleh Che Mat yang tidak pernah jemu untuk menuntut ilmu. Rahsia kejayaan beliau dikongsi bersama kepada pengkaji yang sentiasa bertanya jika kita tidak tahu, jangan sesekali berasa malu dalam menuntut ilmu kerana bak kata pepatah “Malu Bertanya Sesat Jalan”. Itulah rahsia yang menjadi resepi kejayaan Che Mat di universiti (Che Mat bin Che Ali 2014).

            Tenaga pensyarah Che Mat yang banyak memberi tunjuk ajar serta berkongsi ilmu kepada beliau antaranya adalah Dato’ Dr. Haron bin Din yang merupakan penasihat pusat perubatan Islam Darusyifa’. Selain itu Tan Sri Dr. Yusoff Nor yang sekarang ini menjawat jawatan Pengerusi TV Al-Hijrah. Antaranya lagi pensyarah Che Mat ialah Allahyarham Tan Sri Azizan bin Abd. Razak iaitu mantan Menteri Besar Kedah dan seterusnya adalah Ustaz Osman Khalid. Pensyarah yang tidak boleh beliau lupakan pada ketika menuntut di UKM adalah Ustaz Hassan bin Salleh yang berasal dari Kelantan yang selalu menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid UKM dan ungkapan yang sentiasa disebut oleh beliau adalah “OK” (Che Mat Che Ali 2014). Pensyarah-pensyarah itulah yang sentiasa tidak jemu-jemu memberi ilmu kepada anak didik beliau sehingga berjaya hingga ke hari ini.

2.6       BERGELAR AKTIVIS MAHASISWA

Kehidupan yang dilalui oleh Che Mat sepanjang berada di alam kampus telah dipenuhi dengan seribu satu pengalaman yang berharga. Beliau tidak hanya menjadi seorang ulat buku sepanjang berada di UKM. Che Mat merupakan seorang mahasiswa yang bijak membahagikan masa di antara pelajaran dan aktiviti persatuan. Mungkin pengalaman beliau sewaktu berada di KIK banyak mendorongnya untuk meneruskan perjuangan sebagai aktivis mahasiswa ketika berada di UKM.

            Berbekalkan pengalaman yang ada di KIK, Che Mat cuba untuk melebarkan bakat kepimpinannya dalam dunia berpersatuan di UKM. Pada tahun pertama beliau bergelar mahasiswa di FPI, beliau telah dilantik menjadi ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu. Pada tahun berikutnya (1976), Che Mat telah memegang jawatan ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah (Che Mat Che Ali 2014). Pelbagai penglibatan telah Che Mat sertai bagi menimba pengalaman dalam dunia kepimpinan. Asuhan daripada memegang jawatan tersebut telah membantu Che Mat bergerak kehadapan untuk memberi tumpuan dari segenap aspek yang diceburinya. Che Mat juga pernah beberapa kali mengikuti demontrasi yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan mahasiswa yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur. Beliau menceritakan bahawa semasa menyertai perhimpunan demontrasi tersebut, Che Mat pernah terjatuh ke dalam kolam air di Masjid Negara kerana terlalu ghairah dengan kehadiran ramai mahasiswa mahasiswi yang menyertai.

2.7       MELANGKAH KE ALAM KERJAYA

Berbekalkan segulung ijazah dan diploma pendidikan yang diperolehi, Che Mat telah menerima pelbagai tawaran kerja pada ketika itu. Antara tawaran kerja yang pernah ditawarkan kepada beliau adalah berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Agama Islam Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan sebagai Guru di Kementerian Pendidikan Malaysia (Che Mat Che Ali 2014). Pilihan Che Mat adalah menjawat jawatan di Bahagian Hal Ehwal Agama Islam Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Perkhidmatan Che Mat bermula pada tahun 1978 yang mana diterima sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan Islam di Bahagian Hal Ehwal Agama Islam Jabatan Perdana Menteri.

            Menjengah tahun 1982, Che Mat telah menerima tawaran untuk berkhidmat di kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia sebagai Atase Ugama. Pengalaman berkhidmat di bumi orang telah membawa seribu pengalaman buat Che Mat. Pengalaman yang diraih itulah telah membawa Che Mat ke tahap yang lebih tinggi dalam perkhidmatannya. Kepercayaan pihak atasan kepada Che Mat telah membuatkan beliau telah dinaikkan pangkat kepada Ketua Penolong Pengarah Dakwah, Bahagian Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1986. Setelah menjawat jawatan tersebut selama setahun, Che Mat telah diberi kepercayaan untuk memegang amanah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1987. Setelah sekian lama menjawat jawatan itu, Che Mat sekali lagi diberi kepercayaan  memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada tahun 1996.

Pengalaman yang ditimba membuatkan Che Mat lebih disegani dan telah diberi penghormatan lagi daripada pihak jabatan untuk memegang amanah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan merangkap Pegawai Eksekutif Baitulmal Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 1998. Di Wilayah Persekutuan Labuan Che Mat telah membuat pelbagai perubahan untuk meningkatkan lagi syiar Islam dan mencegah kemaksiatan yang berlaku. Masa dengan keluarga telah berkurang kerana banyak memberi tumpuan sepenuhnya kepada amanah yang dipikul sehingga kepada pengurusan jenazah warga Labuan sekalipun menjadi dirujuk kepadanya untuk diuruskan (Che Mat Che Ali 2014).

Setelah empat tahun mengemudi kepimpinan agensi Islam di Wilayah Persekutuan Labuan, Che Mat kembali ke Kuala Lumpur untuk memegang jawatan baru iaitu Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang memangku Pengarah Bahagian Pembangunan Pendidikan dan Urusetia Pendidikan Islam (LEPAI) pada tahun 2002. Tanggungjawab lebih besar diberikan kepada Che Mat yang perlu mengawal selia seramai empat ribu orang guru takmir di seluruh Malaysia. Tanggungjawab berat ini dipikul dengan penuh keyakinan dan membawa hasrat jabatan untuk memajukan pendidikan Islam kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia (Che Mat Che Ali 2014).

Oleh kerana bakat kepada kepimpinan yang tinggi, Che Mat telah diberi kepercayaan lagi untuk memegang amanah menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (KESUMA) di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada tahun 2002. Pada kali ini, Che Mat diberi tanggungjawab untuk menyelia seramai empat belas ribu imam-imam masjid di seluruh Malaysia. Inilah bukti kehebatan kepimpinan Che Mat yang telah membawa sejarah buat seluruh imam-imam apabila pengarah baru dilantik untuk memegang amanah jabatan (Che Mat Che Ali 2014). Setelah sekian pengalaman yang ditimba oleh beliau, maka jelas sekali segala tanggungjawab yang dipikul telah berjaya membawa Che Mat kepada perlantikan sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada tanggal 23 Februari 2005. Sejarah telah tercatat apabila Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang ke sembilan telah dilantik iaitu Che Mat bin Che Ali.

 


2.8       HOBI DAN MINAT


Hobi Che Mat merupakan hobi yang unik. Ketegasan dan disiplin yang diterapkan oleh beliau dalam menguruskan pentadbiran sebuah organisasi Islam sebenarnya berhubung rapat dengan hobi beliau ini yang amat gemarkan aktiviti-aktiviti lasak dan beriadah dimasa-masa lapang. Che Mat sangat menggemari sukan berkuda kerana sukan ini memberi ketahanan mental dan fizikal serta segala cabaran dan rintangan dapat dirasai ketika menunggang kuda. Hobi yang unik ini dipupuk oleh beliau semasa menjawat jawatan di JAWI. Inilah peluang untuk beliau menjaga kesihatan diri disamping melakukan aktiviti riadah yang menyihatkan badan ini bersama keluarga.

Menunggang kuda dikatakan oleh beliau adalah sukan yang menjadi kegemaran Rasullullah SAW. Selain itu juga, sukan berkuda mencerminkan kekuatan, ketangkasan, kepahlawanan dan daya kepimpinan Rasullullah SAW. Oleh itu, beliau mengambil inisiatif meneruskan lagi amalan sunnah ini terhadap kehidupan beliau seterusnya menjadi ikutan kepada generasi-generasi anak cucu beliau.

Umur beliau bukan menjadi penghalang untuk bergiat dalam sukan berkuda setelah sekian lama kemahiran menunggang kuda telahpun menjadi kepakaran kepada Che Mat, beliau menyahut cabaran untuk menyertai acara-acara pertandingan sukan berkuda yang dianjurkan. Penyertaan beliau dalam pertandingan sukan berkuda ini telah berjaya melepasi ujian kelayakan sejauh empat puluh kilometer dengan catatan masa tiga jam empat puluh lima minit berbanding masa yang ditetapkan oleh peraturan Red Gub Cruz iaitu enam jam empat puluh minit bagi kategori jarak tersebut. Pencapaian cemerlang tersebut diraih ketika beliau menyertai pertandingan Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu anjuran Edaran Endurance Classic dan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) pada Julai 2007. Ini membuktikan umur bukan penghalang untuk melakukan sesuatu yang menakjubkan. Maka ia telahpun dibuktikan oleh Che Mat dengan hobi yang digemarinya telah mengukir sekali lagi nama beliau di persada dunia sukan berkuda di Malaysia.

2.9       KEHIDUPAN BERUMAH TANGGA


Setelah tiga tahun berkhidmat dalam pekerjaan, Che Mat berhasrat untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati beliau sendiri iaitu Rakiah Mariana Latiff yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan (Che Mat Che Ali 2014).

             Pada tahun 1980, beliau mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hati tercinta Rakiah Mariana binti Latiff (Rakiah Mariana 2014). Saat itulah yang paling membahagiakan Che Mat dan pasangan pilihan hatinya kerana telah disatukan dengan ikatan yang sah dan membina mahligai istana impian yang tercinta. Kesibukan masa dalam memegang amanah menjadi penjawat awam tidak pernah diabaikan Che Mat sentiasa meluangkan masa bersama dengan keluarga. Walaupun hari-hari dilalui dengan pelbagai karenah kerja, namun Che Mat tetap teguh disamping isteri yang tercinta yang sentiasa membantu memberi sokongan pada dalam kehidupan berumah tangga. Setelah setahun melalui bahtera perkahwinan, pada tahun 1981 Che Mat dan isteri dikurniakan seorang cahaya mata puteri yang memberi sinar baru kepada kehidupan keluarga yang tercinta. Puteri sulung Che Mat diberi nama Farah Suraya yang membawa rezeki melimpah ruah kepada pasangan bahagia ini (Rakiah Mariana 2014). Puteri sulung beliau sekarang ini sedang berkhidmat di Institut Profesional Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

            Ketegasan dan kelembutan dalam kehidupan berumah tangga diterapkan Che Mat semasa permulaan alam perkahwinan beliau. Beliau telah banyak mendidik anak-anak sendiri dan mementingkan ilmu kepada anak-anak seperti ayahanda dan bonda Che Mat terapkan kepada beliau suatu ketika dahulu. Pada tahun 1983, lahir seorang lagi puteri pasangan bahagia ini iaitu Ruhi Munirah. Bertambah lagi keceriaan buat Che Mat dan isteri tercinta dalam meniti hari-hari kebahagian setelah mendapat cahaya mata kedua beliau. Pada masa kini, Ruhi Munirah telah pun mendirikan rumah tangga bersama pasangannya iatu Mohd Fazli. Anakanda kedua beliau adalah suri rumah sepenuh masa dan menantu beliau pula merupakan ahli perniagaan yang berjaya (Rakiah Mariana 2014).

            Kesibukan bekerjaya tidak mematahkan semangat Che Mat untuk memberi tumpuan kepada keluarga kerana keluarga adalah segala-galanya buat Che Mat. Isteri tercinta sentiasa memberi sokongan padu terhadap kerjaya Che Mat kerana Rakiah Mariana adalah suri rumah sepenuh masa yang bekerja untuk keluarga dan membesarkan anak-anak. Pada tahun 1986, kelahiran puteri ketiga pasangan bahagia antara Che Mat dan Rakiah Mariana. Puteri ketiga beliau diberi nama Nur Faezah dan sekarang ini telah pun mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan hatinya iaitu Mohd Zaid dan telah dikurniakan seorang cahaya mata (Rakiah Mariana 2014). Puteri ketiga Che Mat merupakan seorang doktor perubatan dan kini menetap di Pulau Pinang serta pasangannya juga merupakan doktor perubatan dan sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM). Setelah lapan tahun mengemudi bahtera cinta Che Mat dan isteri, pada tahun 1988 beliau telah dikurniakan seorang lagi cahaya mata. Cahaya mata kali ini juga merupakan seorang puteri yang bernama Hana Afzan dan kini sedang berkhidmat di Pejabat Istana Negara. Pada tahun 1995, kelahiran bongsu pasangan Che Mat dan Rakiah Mariana telah memberi sejuta sinar kebahagian kepada beliau. Kelahiran bongsu ini juga adalah seorang puteri dan telah diberi nama Hanie Nazihah. Maka lengkaplah sebuah kehidupan berumah tangga Che Mat dan Rakiah Mariana Latiff melalui kehidupan yang telah membawa pelbagai sejarah-sejarah yang tercoret (Che Mat Che Ali 2014).


2.10     MAKANAN KEGEMARAN

Umur Che Mat mencerminkan gaya pemakanan beliau yang sangat terjaga. Beliau pada hari ini masih tidak mempunyai penyakit yang kronik atau membimbangkan. Ini menunjukkan gaya pemakanan beliau sangat dititikberatkan. Antara kegemaran makanan Che Mat adalah ikan singgang iaitu masakan yang terkenal di bumi pantai timur Malaysia (Rakiah Mariana 2014). Masakan ini menjadi rutin masakan yang dimasak oleh isteri beliau dan sentiasa dijamu untuk seisi keluarga. Selain itu, ulam-ulaman merupakan sayuran yang wajib ada dalam menu hidangan harian untuk dihidang kepada Che Mat. Buah-buahan juga turut menjadi pencuci mulut yang wajib ada ketika setiap kali menjamu selera. Jika tiada buah-buahan disediakan, Che Mat akan merungut dan bertanya kenapa buah-buahan tidak disediakan (Rakiah Mariana 2014).   

            Ini membuktikan bahawa Che Mat terlalu teliti dalam setiap pemakanan untuk menjamu selera dan sangat menitikberatkan soal kesihatan. Oleh itu, segala pemakanan kita memberi impak kepada perut kita dan segala penyakit bermula daripada perut (Che Mat Che Ali 2014).
\

2.11     KEPERIBADIAN


Ketokohan Che Mat sebagai seorang pemimpin telah menyebabkan beliau dikelilingi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Panggilan yang sentiasa terlekat dibibir-bibir mulut masyarakat adalah Datuk Che Mat. Hal ini telah menyebabkan orang di sekeliling lebih menghormati dan menyenangi setiap perilaku yang dizahirkan oleh tokoh ini.

            Antara sifat peribadi yang dimiliki oleh Che Mat ialah beliau seorang yang bertegas dalam menyatakan pendirian. Sifat ini mula terserlah semenjak beliau kecil lagi. Hal ini dapat dibuktikan apabila Che Mat sering kali menegur sikap adik-adiknya yang sentiasa membuat kesalahan dalam apa-apa keadaan (Alias Ali 2014). 

            Ketegasan dalam bekerja merupakan prinsip utama Che Mat. Beliau begitu menitik beratkan soal kerja sehingga pada hari cuti umum sekali pun beliau mengarahkan pegawainya untuk datang bekerja (Nur Hidayah Arbain 2014). Permulaan bekerja bersama Che Mat merupakan suatu yang sangat memeritkan kerana beliau sering memarahi setiausaha peribadinya jika melakukan kesilapan. Perasaan benci sentiasa ada dalam hati tetapi hanya dapat diluahkan melalui tangisan sahaja. Namun setelah lama bekerja bersama Che Mat keserasian bekerja bersama beliau telah membuatkan setiap arahan yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur. Pengalaman bekerja bersama Che Mat yang mempunyai ketegasan dalam bekerja telah memberi banyak pengalaman serta kematangan dalam setiap tugasan yang diarahkan (Nur Hidayah Arbain 2014).

Selain itu, keperibadian Che Mat yang suka bekerja atau pernah dipanggil oleh orang bawahannya adalah “gila bekerja” membuatkan beliau melakukan kerja dengan penuh kegigihan dan ketekunan. Setiap yang beliau arahkan itulah yang perlu dibuat kerana ia adalah kerja kepada masyarakat dan membantu semua orang yang memerlukannya. Jika perkara yang ditugaskan dibuat sambil lewa oleh orang bawahannya, maka sikap Che Mat yang sentiasa tegas dalam semua aspek dan ketekunan bekerjanya wajib dibuat dan diikuti sepenuhnya oleh orang bawahannya. Inilah yang membuatkan Che Mat disegani oleh semua lapisan pegawai atasan mahupun pegawai bahawan beliau (Kartini Mohd Zain 2014).

            Semangat “gila bekerja” yang ditunjukkan oleh Che Mat merupakan suatu sikap yang terpuji oleh salah seorang penjawat awam. Hal ini kerana, perkhidmatan sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab dalam pengurusan agama adalah sepenuhnya berkhidmat untuk orang ramai dalam menangani masalah-masalah terutamanya berkaitan isu-isu agama. Ianya perlu bertindak dengan cepat agar kesucian agama dapat terpelihara daripada ancaman-ancaman anasir jahat yang ingin memporak-perandakan agama Islam. Keperibadian Che Mat yang mudah didekati juga menjadikan orang bawahannya mesra untuk melakukan sesuatu arahan yang diberikan. Inilah contoh seorang pemimpin yang berjiwa mulia yang sentiasa mendekati orang bawahannya dan menilai dari segenap sudut serta memberi kepercayaan yang tinggi. Sikap ambil berat dan ambil tahu Che Mat terhadap orang bawahannya pula membuatkan pegawai-pegawai dan kakitangan  yang bekerja bersama-sama dengan beliau terharu kerana apabila ada dalam kalangan pegawai dan kakitangan beliau yang ditimpa musibah maka arahan khusus dibuat oleh Che Mat sama ada membuat kutipan derma khas ataupun pergi menziarahinya. Oleh itu, keperibadian Che Mat sangat tinggi yang ditunjukkan oleh beliau perlu dicontohi oleh semua dan menjadi ikutan kepada orang bawahannya sehingga ke hari ini (Che Husain Isa 2014).

Ketegasan dalam mentadbir pengurusan di JAWI telah membuatkan Che Mat diingati oleh semua pegawai bahawan beliau sehingga kini. Beliau sangat meneliti setiap apa jua urusan yang dilakukan oleh pegawai yang berkhidmat di JAWI. Che Mat sangat mementingkan kualiti kerja yang dijalankan agar masalah-masalah dapat dielakkan dan dihindarkan kepada semua yang berurusan menggunakan perkhidmatan di JAWI. Che Mat kerap mengadakan mesyuarat bersama pegawai bawahan beliau bagi memastikan segala aspek kerja sentiasa terbaik. Kekerapan mesyuarat diadakan setiap minggu bagi mendengar laporan-laporan pengurusan di setiap bahagian dan cawangan di JAWI (Shukri Mohamad 2014).


2.12     PENGURNIAAN ANUGERAH

Sumbangan dan penglibatan Che Mat dalam dunia kepimpinan Islam di bumi Wilayah Persekutuan tidak asing lagi di mata masyarakat. Malah beliau telah banyak melakukan perubahan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan khususnya dan Malaysia amnya. Maka layaklah beliau untuk menerima kurniaan pingat, darjah kebesaraan daripada istana sebagai tanda penghargaan untuk beliau yang telah banyak memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat.
           
Antara bintang, pingat dan darjah kebesaran yang telah dianugerahkan kepada Che Mat adalah :

1.                  Penerima anugerah Bintang dan Pingat Kehormat Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1984.
2.                  Penerima anugerah Bintang dan Pingat Kehormat Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1994.
3.                  Penerima anugerah Bintang dan Pingat Kehormat Kesatria Mangku Negara (KMN) dan Setia Mahkota Terengganu (SMT) pada tahun 2005.
4.                  Penerima anugerah Bintang dan Pingat Kehormat Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (SPMT) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2006.
5.                  Penerima anugerah Bintang dan Pingat Kehormat Darjah Setia Negeri Sembilan (DSNS) pada tahun 2006.
6.                  Penerima anugerah Bintang dan Pingat Kehormat Panglima Makhota Wilayah (PMW) oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tahun 2011 yang membawa gelaran “Datuk”.
7.                  Penerima anugerah Bintang dan Pingat Kehormat daripada Institusi Diraja Monisaraphon Kerajaan Kemboja pada tahun 2012. 

 


2.13     KESIMPULAN


Setelah meneliti dan menekuni latar belakang Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali, maka pengkaji ingin membuat kesimpulan bahawa kejayaan yang diperolehi tidak datang dengan mudah tanpa sebarang usaha. Kecemerlangan yang telah ditonjolkan oleh Che Mat sebagai seorang tokoh pemimpin telah membuktikan bahawa segala usaha yang tidak dipandu dengan matlamat yang jelas tidak akan membawa sebarang makna kepada seseorang yang ingin berjaya. Selain itu, keazaman dan kesungguhan yang tinggi haruslah di bentuk seawal yang mungkin bagi melahirkan sifat istiqamah dalam mengejar kejayaan. Tambahan pula, kehidupannya yang sentiasa dicorak dengan prinsip habl min Allah dan habl min al-nas telah melayakkan dirinya digelar seorang pemimpin muslim yang berjaya pada zaman ini. Di samping itu, tokoh ini juga banyak mengajar tentang erti sebuah pengorbanan bagi merasai kemanisan sebuah kejayaan.


BAB III

SUMBANGAN DATUK HAJI CHE MAT BIN CHE ALI

3.1       PENGENALAN

Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali. Itulah nama yang sering menjadi sebutan masyarakat di Wilayah Persekutuan pada hari ini. Kepakaran beliau dalam bidang pentadbiran dan kepimpinan telah melonjakkan dirinya sebagai seorang tokoh pemimpin yang menjadi disegani hingga ke saat ini.

             Walaupun beliau telah bersara daripada dunia pentadbiran kerajaan, namun kepimpinan yang dimilikinya telah membuatkan beliau telah dilantik memegang jawatan terpenting dalam Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan iaitu Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan. Jasa dan sumbangan yang telah beliau berikan dalam dunia pentadbiran ini cukup besar. Banyak perubahan dalam sistem pentadbiran ketika beliau menjawat jawatan pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menjadi satu titik tolak kepada perubahan agensi agama Islam dan menjadi salah satu contoh ikutan di seluruh pelusuk negeri di Malaysia. Lebih membanggakan lagi, terdapat beberapa cetusan idea yang bernas telah diaplikasikan dalam perkhidmatan di agensi kerajaan terutamanya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hingga ke hari ini dan ia menjadi salah satu mercu tanda kebanggaan warga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan  kepada semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa contoh yang dikemukakan antaranya ialah penggunaan kad perakuan nikah 1 Jam 1 Wilayah kepada  pasangan yang telah berkahwin di Wilayah Persekutuan yang hanya siap diproses dalam masa satu jam sahaja. Ia merupakan satu transformasi agensi agama Islam yang telah memartabatkan serta memudahkan orang ramai untuk mendapatkannya. Ini adalah perubahan yang julung-julung kali dilakukan oleh Che Mat  mewakili Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada pasangan yang telah berkahwin bagi mendapatkan perakuan perkahwinan yang senang dibawa ke merata tempat. 

            Selain itu, idea meletakkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan slogan “Sentiasa Dicontohi” pada permulaan pentadbirannya menjadi bualan mulut kepada semua lapisan masyarakat di Wilayah Persekutuan dan ia telah menjadi kenyataan sehingga ke saat ini. Oleh yang demikian, di dalam bab kali ini, pengkaji akan berkongsikan beberapa jasa terbesar yang telah disumbangkan oleh Che Mat dalam perkembangan dunia pentadbiran pada hari ini.

 

3.2       SUMBANGAN DALAM BIDANG PENTABIRAN


Sebagai seorang tokoh yang hebat berpencak di arena pentadbiran, Che Mat telah menjadikan bidang pengurusan sebagai wasilah untuk menyampaikan idea kepada masyarakat. Pengalaman beliau sewaktu berkhidmat dengan pelbagai agensi kerajaan sebelum menjawat jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Perekutuan telah banyak memberi pengalaman serta modal idea untuk melakukan pelbagai transformasi kepada agensi agama yang hebat di Wilayah Persekutuan ini. Dengan berbekalkan kelulusan dalam bidang syariah, pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau telah membina kekuatan jati diri untuk mewujudkan sebuah agensi agama yang disegani di seantero Malaysia dengan memegang amanah yang besar untuk memakmurkan bumi Allah ini.

            Kepakaran Che Mat dalam pentadbiran telah membuatkan beliau telah menyerlah dalam urusan tadbir urus sebuah oraganisasi Islam. Beliau telah berjaya mengubah wajah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan daripada 400 orang pegawai dan kakitangan sekitar tahun 2004 kepada 1200 orang pegawai dan kakitangan pada tahun 2012 (Anon. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 2010. Buku Laporan). Hasil daripada perubahan drastik yang telah dijayakan oleh beliau setelah mendapat kelulusan re-organisasi daripada pihak atasan yang berwajib, maka wajah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada ketika itu talah berdiri dengan teguh dan mewujudkan pelbagai bahagian-bahagian untuk menzahirkan amanah yang besar dapat dijadikan realiti dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Antara hasil kejayaan beliau adalah seperti berikut :

1.                  Mewujudkan Jawatan Guru Agama Berelaun daripada Gred DG27 Kepada Guru Bergaji Tetap Gred DGA29 (2006).
2.                  Mewujudkan Jawatan Pengarah Jabatan daripada Gred S54 Kepada Gred Terbuka JUSA C (2006).
3.                  Mewujudkan Elaun Imam dan Bilal Ratib di Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan (2007).
4.                  Mewujudkan Bahagian Bahagian Khusus di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (2007).
5.                  Mewujudkan Perjawatan Lantikan Tetap Pegawai-Pegawai Gred (Sosial) S44,
S41, S32, S27, S22, S17 dan S11 Kerajaan Persekutuan di Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan (2008).
6.                  Mewujudkan Pemakaian Seragam Uniform Bagi Penguatkuasa Agama Jenayah Syariah (2012)

            Selain itu, sumbangan lain yang telah melonjakkan nama Che Mat di persada dunia pentadbiran adalah hasil daripada kewujudan pelbagai perjawatan tetap bagi mengurus pentadbiran masjid-masjid di Wilayah Persekutuan yang mana sebanyak lima puluh enam buah masjid di sekitar Wilayah Persekutuan. Maklumat ini diperolehi daripada Buku Laporan Tahunan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (2010).

Ini adalah satu inisiatif kepada mereka yang memegang kelulusan pengajian Islam untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam yang di lantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia berkhidmat sebagai pegawai dan kakitangan kerajaan. Perjawatan ini telah diisi dengan jawatan gred S11 sehingga ke S44 iaitu mereka yang mempunyai kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sehingga ke Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam.

            Menyedari hakikat untuk mewujudkan pengurusan masjid ke arah pengurusan yang efisien, maka tanggungjawab Che Mat telah menjadi realiti yang nyata bagi melihat institusi agama Islam dipandang gah dipersada semua lapisan masyarakat. Kecemerlangan demi kecemerlangan telah diraih dan berjaya menampakkan hasilnya  apabila pelbagai masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan cara berhemah oleh pegawai-pegawai yang berkhidmat di bawah beliau. Itulah yang Islam anjurkan sepertimana dalil al-Quran yang berfirman (16:125)

Surah al-Nahl

﴿ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Bermaksud :

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-mu, Dia-lah yang lebih Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih Mengetahui siapa yang mendapat petunjuk Perkataan yang tegas dan benar yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil”
            Sumbangan dan pengalaman lain yang telah beliau ceburi telah memberi banyak impak kepada dunia pentadbiran dan mencurahkan pelbagai idea-idea yang bernas kepada semua organisasi yang telah diberikan amanah kepada beliau. Ini telah membawa beliau kepada kematangan dalam dunia pentadbiran dan mengetahui segala gerak kerja untuk meningkatkan lagi produktiviti dalam sistem pengurusan yang telah beliau sandang selama berada di Wilayah Persekutuan.

            Antara jawatan yang pernah beliau sandang adalah :-

1.                  Pengerusi Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
2.                  Pengerusi Institut Profesional Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
3.                  Pengarah Hospital Pusrawi Sendirian Berhad Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
4.                  Pengerusi Pusrawi International College Of Medical Sciences (PICOMS) Anak Syarikat Penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
5.                  Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
6.                  Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan
7.                  Ahli Majlis Penasihat Lembaga Tabung Haji

3.3       SUMBANGAN KEPADA KEBAJIKAN SOSIAL


Berbekalkan pengalaman berorganisasi dan penglibatannya dalam kepimpinan, Che Mat telah berani melangkah ke hadapan untuk mencurahkan bakti demi masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan dengan mewujudkan beberapa inisiatif dan kreativiti yang lahir daripada cetusan idea-idea yang memberangsangkan.

            Sebagai seorang pemimpin agama kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan, Che Mat telah mewujudkan kemudahan yang pelbagai untuk kegunaan masyarakat awam yang memerlukan. Ia menjadi satu kemudahan kepada semua dan telah mendekatkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di hati masyarakat. Kebajikan yang disediakan ini adalah untuk masyarakat mengetahui bahawa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak boleh dipandang enteng dan ia adalah penggerak kepada kemudahan masyarakat untuk menggunakan perkhidmatannya jika memerlukan. Ini telah membuka mata seluruh warga kota bahawa kejayaan yang telah wujud di bandaraya ibu kota Kuala Lumpur ini khususnya. Ia telah memberi banyak faedah dan setanding dengan negara yang sedang membangun pesat menuju ke negara maju suatu hari nanti. Inilah bukti yang telah beliau jayakan bagi mendekatkan masyarakat dengan agama Islam dan ia menjadi salah satu wadah ataupun medium dakwah kepada semua. Tempias juga diterima bagi mereka yang bukan Islam melihat keharmonian dan kesepakatan masyarakat Islam yang bersatu membantu mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk sama-sama merasai kesenangan dalam menjalani kehidupan harian.

Antara kemudahan yang telah diperkenalkan oleh Che Mat bagi membantu mereka yang memerlukan ialah :

1.                  Van Komuniti Serbaguna Tiga Dalam Satu (Membawa Penumpang/Membawa Pesakit/Membawa Jenazah) pada tahun 2011.

2.                  Memberi Makanan Percuma Kepada Golongan Gelandangan pada tahun 2010.

3.                  Kemudahan Akses di Internet Sistem e-Pusara Bagi Pencarian Maklumat Si Mati pada tahun 2011.

4.                  Mewujudkan Tanah Perkuburan Dalam Taman Yang Pertama di Malaysia di Pusara Tanah Perkuburan Karak-Kuala Lumpur iaitu Raudhatul Sakinah pada tahun 2011.

5.                  Menyediakan Sekolah Menengah Agama Yang Bertaraf Sekolah Cemerlang pada tahun 2010.
6.                  Menghimpunkan Seramai 250 Pasangan Meraikan Majlis Pengantin 1Malaysia Secara Beramai-Ramai di Wilayah Persekutuan pada tahun 2010.

7.                  Mewujudkan Kad Perakuan Nikah 1 Jam 1 Wilayah Bagi Pasangan Yang Telah Berkahwin Yang Siap Permohonan Selama Satu Jam Sahaja pada tahun 2010.

8.                  Mewujudkan Kad Pintar Mualaf pada tahun 2008.

9.                  Menjayakan Siaran di Radio KLfm. Setiap Sebulan Sekali Menyampaikan Info Berkaitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kepada Masyarakat Ibu Kota pada tahun 2011.

10.              Mengadakan Program Dakwah Bil-Hal Sifar Maksiat Bersama Masyarakat di Sekitar Kawasan Putrajaya pada tahun 2011.


Selain itu, segala kemudahan yang telah dijayakan sehingga ke hari ini dapat direalisasikan oleh beliau. Che Mat juga tidak jemu untuk berkhidmat dalam dunia pentadbiran bagi badan-badan bukan kerajaan dan jawatankuasa-jawatankuasa majlis kerajaan. Beliau telah menyerahkan sepenuhnya keringat untuk membantu pengurusan kebajikan sosial Islam berkongsi idea-idea yang bernas bagi meningkatkan lagi sistem urustadbir organisasi agar membawa kejayaan yang tertinggi untuk memberi khidmat kepada masyarakat awam.

Antara jawatan terawal yang pernah dipegang oleh Che Mat dalam bidang kebajikan sosial adalah berikut :

1.                  Setiausaha Kelab 31 UMNO Indonesia pada tahun 1982.

2.                  Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Kehakiman Tilawah Al-Quran Peringkat
Kebangsaan dan Antarabangsa pada tahun 1986.

3.                  Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Isu-Isu Agama Negeri Kelantan pada tahun 2003.

4.                  Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Isu-Isu Agama Negeri Terengganu pada tahun 2003.

5.                  Ahli Panel Pemulihan Kumpulan Al-Arqam pada tahun 2003.

6.                  Ahli Panel Jawatankuasa Percukaian dan Zakat bagi Negeri-Negeri Asia Barat, Pakistan, Iran dan Arab Saudi pada tahun 2003.

7.                  Penyelia Guru-Guru Takmir KAFA Seluruh Negara pada tahun 2003.

            Kesemua pengalaman yang diperolehi Che Mat telah banyak mematangkan dirinya untuk terus berkecimpung dalam dunia pentadbiran ini. Beliau seterusnya telah berjaya memperkembangkan lagi khidmat kepakarannya di peringkat Badan-Badan Bukan Kerajaan dan Agensi Korporat. Antara institusi yang menjadi pilihan beliau adalah seperti berikut :

1.                  Penaung Kelab Motor Masjid di Wilayah Persekutuan 2011 hingga 2013.
2.                  Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan 2013 hingga kini.


3.4       SUMBANGAN KEPADA PEMBANGUNAN INSTITUSI MASJID


Dunia pentadbiran tidak asing lagi buat Che Mat pada sekian hari melalui kehidupannya. Melihat tanggungjawab sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul bagi menjaga agama Islam, beliau memiliki impian yang tinggi untuk membawa syiar Islam di bumi Wilayah Persekutuan berdiri teguh tanpa rasa gerun. Sehubungan dengan itu, beliau telah memandang serius kepada institusi masjid yang menjadi lambang kepada syiar Islam. Keseriusan Che Mat membawa instutisi masjid kepada agenda utama urustadbir beliau telah menjadikan institusi masjid berubah tiga ratus enam puluh darjah dalam transformasi yang telah Che Mat usahakan. Ini bertepatan seruan Allah SWT dalam firman-Nya Surah al-Taubah (9:18)

﴿إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Bermaksud :

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Perkara utama dilaksanakan oleh beliau selaku Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan adalah dengan mewujudkan perjawatan khas daripada penjawat awam yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia secara lantikan tetap bagi mengurus sistem pengurusan masjid di seluruh Wilayah Persekutuan. Perjawatan ini telah diluluskan oleh pihak Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan seramai tiga ratus empat puluh orang pada tahun 2008 pegawai dan kakitangan bagi mengurus institusi masjid di Wilayah Persekutuan. Pegawai dan kakitangan yang terdiri daripada gred sosial (S44) iaitu Penyelaras Pusat Pentabiran Zon masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, gred sosial (S41) iaitu Ketua Imam/Ketua Pentadbir masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, gred sosial (S32) iaitu Penolong Penyelaras Pusat Zon masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, gred sosial (S27) iaitu Penolong Ketua Imam masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, gred sosial (S22) iaitu Pembantu Hal Ehwal Islam Kanan yang bertanggungjawab kepada Penyelaras Pusat Zon masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, gred sosial (S17) Muazzin masjid-masjid di Wilayah Persekutuan dan yang terakhir gred sosial (S11) bertanggungjawab sebagai Noja/Siak di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan. Perjawatan yang telah wujud ini merupakan idea yang sangat murni terbit daripada buah fikiran Che Mat yang ingin melihat syiar Islam tertegak dengan teguh di Wilayah Persekutuan.

Beliau ingin melihat masjid-masjid diuruskan tadbir dengan bersistem serta dipandang tinggi oleh semua organisasi-organisasi yang lain (Che Mat bin Che Ali 2014). Ia telah menunjukkan hasil dan realiti pada hari ini yang mana telah melahirkan imam-imam yang berpotensi tinggi serta berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai imam di masjid malah bukan sekadar mengimami solat fardhu di masjid sahaja, tetapi telah banyak melakukan transformasi dalam bidang pengurusan yang cekap seperti pengurusan fail, pengurusan kewangan, pengurusan pengimarahan dan sebagainya di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan. Ini adalah satu kejayaan dan sumbangan besar yang telah dilakukan oleh Che Mat selaku Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk melihat syiar agama Islam dapat terpelihara dan dipimpin oleh mereka yang berkelulusan dan berprofesional bagi mewujudkan situasi yang mendamaikan dalam masyarakat di Wilayah Persekutuan.

            Setelah melahirkan imam-imam lantikan tetap daripada kerajaan, beliau mengorak langkah mengambil inisiatif turun kelapangan untuk melihat sendiri keadaan dan wajah-wajah masjid-masjid di Wilayah Persekutuan. Terdapat beberapa masjid dikenal pasti telah mengalami keuzuran dan kerosakan yang teruk dan ia telah mencacatkan pandangan masyarakat terhadap penganut agama Islam bahawa kedaifan telah merencatkan masyarakat Islam dibumi Wilayah Persekutuan untuk beribadat kepadaa Allah SWT. Memikirkan  masalah ini telah berlarutan sekian lama, maka Che Mat mengambil inisiatif dan langkah kehadapan untuk membantu mengubah lanskap minda masyarakat melihat kecantikan tempat ibadat dijaga dan dipelihara sentiasa oleh semua. Sehubungan itu, beliau bersama-sama pimpinan tertinggi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengadakan perbincangan bagi memutuskan sejumlah peruntukkan untuk membaik pulih masjid-masjid yang telah uzur. Setelah keputusan persetujuan di buat oleh semua pimpinan yang berwajib, maka keseluruhan masjid-masjid yang telah dikenal pasti telah berjaya dibaik pulih untuk menjamin keselesaan para jemaah dan umat Islam yang menggunakannya di seluruh Wilayah Persekutuan.

            Memikirkan kepadatan penduduk Islam yang sekian hari semakin meningkat di Wilayah Persekutuan, Che Mat mengambil satu lagi inisiatif membina beberapa buah lagi masjid untuk kemudahan masyarakat Islam. Ini adalah menjadi satu lagi keteguhan dan kesepakatan lambang syiar Islam yang semakin hari semakin kuat bertapak di bumi Wilayah Persekutuan.  Di zaman pentadbiran beliau, Che Mat telah mengambil keputusan membina sebanyak lapan belas buah masjid yang menelan belanja kos sebanyak tiga ratus juta Ringgit Malaysia dan peruntukkan ini telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi-agensi kerajaan yang berwajib.

            Setelah segala kemudahan dan masjid-masjid telah terbina di Wilayah Persekutuan, Che Mat sekali lagi menyumbang idea untuk melihat anak-anak muda menjadi pemimpin kepada masyarakat terutamanya masyarakat Islam di kota metropolitan bandaraya Kuala Lumpur. Idea yang diinspirasikan oleh Che Mat ini telah dicurahkan melalui terbitnya Program Realiti Televisyen Imam Muda yang telah dijayakan bersama oleh Syarikat Penyiaran Utama Astro melalui terbitan siaran Astro Oasis. Sambutan masyarakat amatlah menggalakkan setelah mendapat tontonan sebanyak satu perpuluhan dua juta penonton pada akhir siaran Program Realiti Televisyen Imam Muda msim pertama disiarkan. Ini adalah merupakan satu lagi kejayaan besar yang telah disumbangkan oleh Che Mat bagi melihat anak muda menjadi pemimpin kepada masyarakat dan melahirkan seramai mungkin imam-imam dan pelapis-pelapis kepada pendakwah Islam di Wilayah Persekutuan.

            Rentetaan daripada Program Realiti Televisyen Imam Muda tersebut, sekali lagi Che Mat mezahirkan idea untuk anak watan Wilayah Persekutuan dengan menjayakan Program Imam Muda Qaryah bagi pemuda-pemuda di sekitar Wilayah Persekutuan. Program tersebut sepenuhnya diselaraskan oleh pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi usaha mewujudkan Imam-Imam Muda Qaryah yang terbaik serta menjadi contoh kepada masyarakat keseluruhnya. Program ini telah melahirkan seramai lapan ratus orang Imam Muda Qaryah di seluruh Wilayah Persekutuan terdiri daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pelbagai pengisian telah diaturkan bagi memantapkan lagi  Imam Muda Qaryah untuk turun kelapangan bersama-sama masyarakat setempat bagi memberi pengetahuan serta berdakwah mengenai agama Islam yang betul kepada semua lapisan masyarakat. Inilah bukti yang telah ditunjukkan oleh Che Mat bahawa anak muda harapan bangsa pemudi tiang negara yang wujud di negara kita. Memberi perhatian yang penuh kepada pemuda-pemuda serta mencungkil bakat-bakat yang ada agar dapat dikongsi bersama-sama kepada semua masyarakat.

            Sekian banyaknya sumbangan yang telah dikongsikan oleh Che Mat, maka satu lagi idea telah diberikan oleh beliau dengan melancarkan Program Penarafan Tandas Dan Tempat Wudhuk di seluruh masjid-masjid di Wilayah Persekutuan. Program ini merupakan program pertama di Malaysia yang telah dijayakan oleh Che Mat di bawah pentadbiran beliau. Masyarakat telah membuka mata setelah program ini dilancarkan yang mana menjadi peri pentingnya seluruh anggota masyarakat untuk menjaga kebersihan tandas dan tempat wudhuk di setiap masjid dikawasan penempatan masing-masing. Sikap yang murni ini perlu diterapkan oleh semua lapisan masyarakat tidak kita tua mahupun muda, miskin ataupun kaya wajib bertanggungjawab kepada masjid kerana masjid adalah sebagai tempat ibadat bagi umat Islam dan menjadi lambang kepada syiar Islam dan umat Islam seluruhnya.

3.5       SUMBANGAN DALAM  BENTUK JARINGAN DAN HUBUNGAN LUAR


Dengan berbekalkan pengalaman kerjaya akademik, kepakaran dan penglibatan dalam organisasi, Che Mat telah berjaya membina sebuah jaringan dan hubungan luar yang amat luas. Melalui jaringan inilah, beliau dengan mudah dapat memberikan sumbangan melalui medium penyampaian sama ada di media massa mahupun media cetak.

            Peluang seperti inilah yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh Che Mat dalam usaha menyampaikan dakwah dan kefahaman agama kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih kontemporari. Antara sumbangan beliau dalam bentuk jaringan dan hubungan luar adalah seperti berikut :

1.                  Menjadi Panel Jemputan TV al-Hijrah dan Radio KLfm.

2.                  Menjadi Panel Jemputan TV Bernama.

3.                  Menjadi Penasihat Program Dakwah Realiti Musim Pertama Imam Muda di
Stesen TV Astro Oasis.
3.6       KESIMPULAN

Jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh Che Mat dalam dunia pentadbiran tanah air Wilayah Persekutuan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Pengorbanan beliau mengembeling tenaga dalam usaha memartabatkan agama Islam di seantero Malaysia seharusnya dihargai oleh masyarakat awam, khususnya golongan yang terpelajar.

            Penglibatan beliau di dalam banyak agensi dan institusi sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan telah banyak menyumbang kepada kemajuan pengurusan pentadbiran institusi tersebut. Pemikirannya yang kritikal dan sikapnya optimis sememangnya menjadi rebutan ramai pihak yang ingin mendapatkan khidmat nasihat daripada beliau. Di samping mempunyai kebolehan mencetuskan idea yang realistik, Che Mat turut menggunakan kepakarannya dalam menghasilkan kerja-kerja yang mempunyai kepelbagaian faedah yang dapat dimanfaatkan oleh semua lapisana masyarakat. Selain itu, kesungguhan beliau membangkitkan kesedaran tentang kepentingan menguasai dua disiplin ilmu iaitu Islam dan konvensional merupakan satu bentuk sumbangan terbesar dalam usaha melahirkan generasi muslim yang berintelektual. Oleh yang demikian, Che Mat seharusnya dijadikan contoh ikutan sebagai salah seorang tokoh yang menggerakkan gelombang perubahan dalam kemajuan sistem Institusi Pentadbiran Islam di Wilayah Persekutuan pada hari ini. Kejayaan ini telah menukilkan nama Che Mat sebagai lagenda pembangunan dan perubahan yang di buat bagi masyarakat Islam di seluruh Wilayah Persekutuan dan ia menjadi ingatan seluruh warga Wilayah Persekutuan terhadap jasa-jasa dan pengorbanan-pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Che Mat.






BAB IV

PENUTUP 

4.1       PENGENALAN

Berdasarkan kepada keseluruhan kajian yang telah dilakukan, maka pengkaji berpendapat bahawa suatu bentuk kesimpulan perlu dibuat bagi memahami kandungan kajian dengan lebih mudah. Pengkaji akan merumuskan secara ringkas mengenai bab satu berkenaan pendahuluan kajian, bab dua tentang biodata Datuk Haji Che Mat bin Che Ali dan bab tiga yang menceritakan tentang sumbangan Datuk Haji Che Mat bin Che Ali. Selain itu, pengkaji juga akan menyimpulkan kajian ini berdasarkan kepada keseluruhan maklumat dan kefahaman yang diperolehi pengkaji terhadap hasil terakhir kajian ini.

4.2       RUMUSAN


Datuk Haji Che Mat bin Che Ali merupakan salah seorang tokoh kepimpinan yang berjasa di Malaysia. Kepakaran Che Mat dalam bidang pengurusan di institusi Islam telah menjadikan beliau tokoh yang disegani dan disanjungi oleh masyarakat. Segala pengalaman yang telah ditimba selama berkhidmat dalam sektor kerajaan telah memberi banyak impak yang positif dan diterjemahkan di dalam sistem pentadbiran yang diuruskan oleh beliau. Maka, pengkaji berharap agar kajian ini akan membuatkan masyarakat lebih mengenali dan menghargai sumbangan yang telah dicurahkan oleh Che Mat khususnya dalam dunia kepimpinan Institusi Islam tanah air.

            Walaupun Che Mat dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana, namun semangat kekeluargaan yang dicorak oleh ayahanda dan bonda beliau serta adik beradiknya telah membantu beliau menjadi insan yang tabah. Kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh keluarga Che Mat untuk menyara kehidupan keluarga ini telah memberikan kesan kepada pembentukan keperibadian beliau. Dengan menjadikan pendidikan agama dan akademik sebagai keutamaan dalam hidup, akhirnya Che Mat berjaya mengharumkan nama dan taraf hidup keluarganya dengan kejayaan yang dikecapi pada hari ini.

            Kecekalan beliau dalam perjuangan menuntut ilmu jelas kelihatan tatkala beliau terpaksa menempuhi pelbagai halangan dan dugaan demi untuk menggenggam segulung ijazah. Didikan agama yang diperolehinya sewaktu menyambung pengajian di peringkat menengah telah banyak mengajar beliau tentang kepentingan manusia menguasai tiga elemen penting dalam kehidupan beragama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Di samping itu, Che Mat juga turut berkesempatan untuk mengukir zaman mahasiswanya dengan kejayaan beliau berpersatuan menjadi ahli jawatankuasa dan pengerusi persatuan di zaman tersebut.

            Berkat kesungguhan dan azam yang tinggi kejayaan telah diraih oleh beliau sepanjang berada di universiti. Segala ilmu yang dituntut di universiti telah dizahirkan dialam pekerjaan dan alam melalui kehidupan seharian.

Setelah melalui alam pekerjaan, Che Mat mempunyai disiplin yang tinggi serta seorang yang berprinsip memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kejayaan. Pelbagai jawatan yang dipegang telah mungukir namanya dalam bidang pentadbiran Islam dipelbagai agensi-agensi yang disandangnya. Inilah sebutir mutiara yang tidak ternilai harganya yang sukar dicari ganti pada masa kini. Semangat “gila bekerja” yang telah diberi gelaran oleh orang bawahannya membuatkan Che Mat seorang yang disegani dalam dunia kepimpinan. Berkat kerja yang dilakukan semasa mengemudi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, beliau telah banyak menempa kejayaan dan mengharumkan nama Institusi Islam terutamanya di JAWI yang tidak terkira banyaknya. Inilah pemimpin yang sentiasa berfikir untuk memberi khidmat kepada masyarakat Wilayah Persekutuan khususnya dan masyarakat Malaysia amnya untuk sentiasa maju kehadapan dan beliau ingin melihat syiar agama Islam berdiri teguh sentiasa di bumi Wilayah Persekutuan.  

            Selain itu, kepakaran yang dimiliki oleh Che Mat telah mendorong beliau untuk menyumbang dan berbakti kepada masyarakat dan agama. Hal ini jelas dilihat melalui penglibatan beliau dalam beberapa buah persatuan serta badan sukarela yang memerlukan khidmat nasihat dan pengalaman yang dimiliki olehnya. Di samping, beliau turut memegang beberapa jawatan besar seperti pengarah di anak syarikat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan iaitu pengarah Yayasan Taqwa, Pengarah Institut Profesional Baitulmal dan pelbagai lagi. Kesibukan Che Mat sebagai seorang pemimpin di beberapa buah institusi dan pertubuhan bukan kerajaan tersebut tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan keintelektualan masyarakat.

            Sesungguhnya, jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh Che Mat layak mendapat pujian dan sanjungan oleh masyarakat. Pelbagai anugerah dan darjah kebesaran telah diberikan kepada beliau sebagai tanda menghargai sumbangannya kepada agama, masyarakat dan negara. Walaupun Hailani dianugerahkan gelaran Datuk oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong keTiga Belas, namun ia tidak sedikitpun mempengaruhi beliau daripada berhenti menyumbang kepada masyarakat. Malah beliau telah menganggap bahawa anugerah itu merupakan suatu cabaran kepadanya untuk terus memberikan sumbangan yang lebih besar kepada agama dan masyarakat.

4.3       KESIMPULAN


Selepas pengkaji meneliti dan menganalisis mengenai Datuk Haji Che Mat, maka dapatlah dirumuskan bahawa kajian ketokohan kali ini mempunyai perbezaan dengan kajian tokoh-tokoh kepimpinan yang lain. Perbezaan ketara yang dapat dilihat di antara Che Mat dan tokoh-tokoh kepimpinan yang lain adalah dari segi kemampuan menguasai dua disiplin ilmu secara bersepadu. Kemampuan Che Mat dalam menguasai ilmu duniawi dan ukhrawi telah menyebabkan beliau dilihat mempunyai kelebihan dan nilai tambah berbanding tokoh-tokoh kepimpinan yang lain.

            Oleh itu, kesungguhan beliau dalam memimpin sebuah institusi Islam telah membuktikan dan menangkis persepsi orang ramai bahawa seseorang yang lahir dari bidang pengajian Islam boleh memimpin organisasi dengan terbaik dari semua aspek bidang pengurusan.

            Dalam usaha untuk mendapatkan maklumat berkenaan latar belakang dan sumbangan Datuk Haji Che Mat bin Che Ali, pengkaji telah berjumpa sendiri dengan beliau di pejabatnya. Oleh yang demikian, pengkaji berjaya memperolehi maklumat secara langsung daripadanya. Justeru, kebenaran dan ketepatan maklumat yang didapati tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Dapatan maklumat daripada sumber yang lain turut menjadi bahan bukti yang membantu pengkaji menghuraikan fakta dengan lebih berkesan. Di samping menerima beberapa maklumat tambahan daripada Datuk Haji Che Mat bin Che Ali dalam bentuk catatan bertulis, kaedah temu bual yang dilakukan terhadap ahli keluarga, rakan sekerja serta pegawai dan kakitangan bawahan beliau turut memudahkan pengkaji untuk memperkembangkan idea penulisan sama ada di dalam bab dua mahupun bab tiga.
            Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana objektif utama kajian ini telah berjaya dicapai dengan jayanya. Kajian yang berkisarkan tentang biodata dan latar belakang Datuk Haji Che Mat bin Che Ali serta sumbangan beliau terhadap perkembangan dunia pentadbiran dan kepimpinan ini merupakan kajian sulung yang dilakukan dalam dunia penulisan latihan ilmiah. Diharapkan kajian ini akan dapat membantu para pengkaji yang lain untuk meneruskan kajian secara mendalam tentang tokoh kepimpinan yang berjiwa besar ini.





















RUJUKAN

Al-Qur’an

Che Mat Che Ali. 2014. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali Dan Sumbangannya Terhadap Masyarakat. Temubual, 13 Jun 2014.

Anon. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 2010. Buku Laporan.

Anon. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 2011. Buku Laporan.

Anon. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 2012. Buku Laporan.

Anon. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 2013. Pengarah-Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Rakiah Mariana Latiff. 2014. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali Dan Sumbangannya Terhadap Masyarakat. Temubual, 25 Ogos 2014.

Alias Ali. 2014. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali Dan Sumbangannya Terhadap Masyarakat. Temubual, 20 Julai 2014.

Che Husain Isa. 2014. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali Dan Sumbangannya Terhadap Masyarakat. Temubual, 13 Jun 2014.

Kartini Mohd Zain. 2014. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali Dan Sumbangannya Terhadap Masyarakat. Temubual, 22 Mei 2014.

Shukri Mohamad 2014. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali Dan Sumbangannya Terhadap Masyarakat. Temubual, 09 September 2014.

Nur Hidayah Arbain. 2014. Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali Dan Sumbangannya Terhadap Masyarakat. Temubual, 13 Jun 2014.










LAMPIRAN A

Ibunda dan Ayahanda Che Mat

Ali dan Khatijah


LAMPIRAN B

Adik Beradik Che Mat

                                                           
LAMPIRAN C
Menerima Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam Dengan Kepujian Syariah


LAMPIRAN D
Che Mat dan Rakiah Mariana Latiff


LAMPIRAN E
Che Mat, Isteri, Anak-Anak dan Menantu


LAMPIRAN F
Menerima Pingat Darjah Kebesaran


LAMPIRAN G
Keratan Akhbar Menerima Pengurniaan Anugerah

LAMPIRAN H
Hobi dan Minat Che Mat

LAMPIRAN I
Che Mat bersama Pengkaji

LAMPIRAN J
Pelancaran Kedai Asnaf 1Malaysia

LAMPIRAN K
Pelancaran Van Serbaguna

LAMPIRAN L
Program Meraikan Pasangan Perkahwinan Beramai-Ramai 1Wilayah

LAMPIRAN M
Penyampaian Pelajar Cemerlang

LAMPIRAN N
Keratan Akhbar

2 ulasan: